KENAL DIRI
Jalan membina kepercayaan harus terbina di atas usaha manusia mengenal diri. Itulah asasnya agama kita mengajar:
“Barangsiapa yang kenal akan dirinya, maka kenallah dia akan Tuhannya” [sila rujuk komen ke-13 di bawah untuk keterangan mengenai qaul ini]
Kenal Tuhan melalui jalan Kenal Diri…
Itulah kuncinya untuk manusia kembali menjalin hubungan dengan Tuhan. Iaitu hasil keupayaan mengenal diri. Soalnya ialah, apakah aspek diri yang mahu dicari?
Manusia yang meneroka diri, akan bertemu dengan dua realiti. Setiap insan, mempunyai kekuatan dan kelemahan. Kekuatan dan kelemahan inilah yang mesti dikenal pasti, untuk manusia meneroka dan mengenal diri.
Manusia yang sedar bahawa hidupnya harus berperanan akan memaksa diri untuk mencari potensi. Semuanya atas keyakinan bahawa tiada manusia yang lahir dengan asal kebodohan, sebaliknya setiap insan lahir dengan kepandaian-kepandaian yang berbeza.
Apa yang membodohkan seorang manusia adalah segala yang ada di sekitarnya. Mungkin ibu bapa, malah mungkin juga guru dan sekolah itu sendiri. Sekolah tidak sepatutnya melahirkan pelajar yang pandai dan bodoh. Sebaliknya sekolah harus melahirkan pelajar yang berbeza-beza kepandaian. Tugas sistem pendidikan adalah untuk meneroka potensi kelebihan setiap pelajar, bukan mengasingkan pelajar yang tidak mengikut bentuk kepandaian yang diselaraskan.
Tetapi manusia tidak akan dapat mengenal pasti kelebihan diri jika dia hidup ala kadar. Kerja ala kadar. Berfikir ala kadar.
“Buat kerja betul, betul-betul!”, kata bijak pandai.
Mengusahakan sesuatu secara bersungguh-sungguh akan mempercepatkan manusia menggunakan segala kekuatan dan kelebihan diri. Setelah segala kekuatan diri dikenal pasti, bertemulah dia dengan batasan dan kelemahan diri.
Itulah jalan saintis bertemu Tuhan. Baginya sains bukan sekadar penerokaan peluang, tetapi akuran terhadap batasan mutlak di kiri dan kanan. Batasan itu bukan berpunca dari alam yang kelihatan, tetapi dari diri yang terlalu kerdil untuk menggarapnya.
Itulah akibatnya meneroka angkasa lepas, bahawa manusia dan Sains, terlalu kerdil untuk menawarkan jawapan kepada persoalan alam. Kebanyakan yang kita fahami tentang angkasa, adalah tafsiran data dan jauh dari kesan pengalaman. Data yang membuktikan kesempurnaan sistem alam, dan kelemahan penghuninya yang bernama manusia.
Saintis menjadi manusia yang lemah dan terbatas, di hadapan kesempurnaan sistem yang dibuktikan, kesempurnaan Tuhan.
No comments:
Post a Comment